Berbekalkan pengalaman dan kepakaran selama lebih 85 tahun dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, AmanahRaya kini muncul sebagai syarikat peramanahan dan perwarisan utama yang mampu menguruskan aset secara profesional. Selain daripada peramanahan Korporat, AmanahRaya turut menawarkan pelbagai perkhidmatan yang meliputi Pentadbiran Harta Pusaka berwasiat dan tidak berwasiat, Penulisan, Penyimpanan dan Pelaksanaan Wasiat serta pengurusan pelbagai Akaun Amanah bagi kepentingan benefisiari tertentu mengikut hasrat pelanggan. Perkhidmatan yang disediakan oleh AmanahRaya sentiasa memberi jaminan kewangan yang optimum kepada semua benefisiari serta ahli waris yang berhak.
Perancangan dan Pengurusan Perwarisan di AmanahRaya
Perancangan dan pengurusan perwarisan lazimnya dipandang remeh oleh masyarakat. Ada yang beranggapan, perancangan dan pengurusan perwarisan hanya sesuai bagi individu berpendapatan tinggi, berharta dan lanjut usia. Persepsi ini menimbulkan pelbagai masalah yang membawa kepada kesulitan berpanjangan tanpa kesudahan. Oleh sebab itu seluruh ahli masyarakat perlu memahami dengan jelas konsep perancangan dan pengurusan harta bagi mengelakkan masalah pengurusan harta daripada terus berlarutan.
Perancangan dan pengurusan perwarisan merangkumi pengurusan harta sebelum dan selepas kematian. Ini bagi memastikan harta kekayaan yang dikumpulkan dapat diwarisi dan dimanfaatkan oleh waris-waris yang ditinggalkan.
Perancangan dan pengurusan perwarisan harus dibuat dengan bijak dan teliti. Proses perancangan harta bukan hanya sekadar mengumpul, mengurus dan melindungi harta semata-mata, sebaliknya harta dan kekayaan yang dimiliki harus dipastikan dapat diwarisi dengan baik tanpa menimbulkan kesulitan kepada waris yang layak menerimanya.
AmanahRaya menjalankan tanggungjawab dalam membantu masyarakat mengenai Perancangan dan Pengurusan harta pusaka bagi memastikan kepentingan waris-waris sentiasa terpelihara, terjamin dan dilindungi secara profesional. Sebagai syarikat peramanahan yang terulung di Malaysia, AmanahRaya sedia membantu menyelesaikan kesulitan anda.
Pentadbiran Harta Pusaka
Harta Pusaka ialah segala harta peninggalan simati yang meliputi harta alih dan harta tak alih setelah ditolak segala hutang dan kewajipan yang perlu diberikan kepada pihak-pihak yang berhak menurut undang-undang.
Pentadbiran Harta Pusaka penting bagi memastikan Harta Pusaka simati dapat dimanfaatkan oleh waris dan tidak terbiar begitu sahaja. Pentadbiran Harta Pusaka seharusnya diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan penganiayaan berlaku serta menghindari kerumitan waris terhadap harta pusaka itu.
Masalah Berbangkit dalam Pentadbiran Harta Pusaka
- Tiada pelantikan Wasi atau Pentadbir Harta Pusaka
- Dokumen yang diperlukan tidak lengkap seperti ketiadaan Sijil Kematian, Sijil Faraid (bagi yang beragama Islam), dokumen berkaitan harta dan hutang (contohnya buku simpanan bank, geran kereta, geran tanah dan lain-lain).
- Tiada kerjasama yang baik daripada waris simati. Waris simati tidak hadir ketika perbicaraan dijalankan.
- Tiada persefahaman dan berlaku persengketaan di antara waris simati.
- Tanggapan pentadbiran harta pusaka tidak penting dan menyusahkan.
- Kurang kesedaran dalam perancangan harta pusaka.
- Berlaku kematian berlapis yang mengakibatkan pentadbiran pusaka sukar untuk diselesaikan.
Jenis-jenis Harta Pusaka
- Harta Pusaka Berwasiat (Testate)
- Harta Pusaka Tidak Berwasiat (Intestate Estate)
Peranan AmanahRaya sebagai Pentadbir Harta Pusaka
- Mewakili waris di Mahkamah dan menguruskan harta pusaka bagi pihak waris.
- Meneliti senarai harta, liabiliti dan mengenalpasti Penghutang dan Pemiutang simati.
- Melunaskan segala hutang simati kepada pihak-pihak yang berkaitan.
- Mengeluarkan Suratkuasa bagi Seksyen 17(1) dan 17(2).
- Pengagihan harta pusaka berdasarkan Hukum Faraid (bagi yang beragama Islam) atau Akta Pembahagian 1958 (bagi yang bukan Islam).