Memaparkan catatan dengan label Muqaddimah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muqaddimah. Papar semua catatan

Rabu, 12 Disember 2012

Muqaddimah

ALHAMDULILLAH. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam. Allah yang telah menciptakan segala-galanya. Allah jugalah Tuhan yang mentadbir segalanya. Allah lah Tuhan yang telah mengizinkan segala-galanya berlaku dengan kehendak-Nya. Syukur kerana dapat menerbit blog wasiatonline.blogspot.com ini pada 12/12/12.

Selawat dan salam atas rasul junjungan Muhammad SAW. Baginda bukan sekadar utusan bahkan baginda adalah penunjuk jalan untuk selamat di dunia dan akhirat.

Syukur Alhamdulillah. Allah sudi meminjamkan kepada saya sedikit ilmu tentang Faraid, Wasiat, Hibah, Harta Sepencarian serta pengurusan pusaka untuk saya kongsikan kepada masyarakat.

Sesungguhnya permasalahan pusaka di kalangan umat Islam yang berlaku hari ini, bolehlah diterjemahkan sebagai fitnah harta. Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam salah sebuah hadisnya yang menggambarkan tentang akibat umat Islam  mengabaikan Ilmu Faraid.

Bukankah Rasulullah SAW telah menyuruh kita agar mempelajari atau mengetahui ilmu faraid kerana ilmu faraid merupakan kunci untuk kita menguruskan dan merancang pusaka. Sekiranya kita umat Islam di Malaysia ini mengambil berat tentang ilmu faraid, pasti kita akan dibawa menyulusuri selok belok pengurusan harta pusaka dengan baik dan sempurna.

Jesteru, dengan membaca blog ini:
  • Moga dapat membuka minda kita.
  • Moga selepas ini terdetik minat dalam diri kita untuk mempelajari atau mengetahui ilmu faraid.
  • Moga selepas ini terdetik dalam diri kita untuk segera berpakat adik-beradik untuk menguruskan dan menyelesaikan pusaka peninggalan arwah ibu bapa.
  • Moga selepas ini terdetik dalam diri kita untuk segera membuat perancangan pusaka sama ada mula mengambil langkah untuk menulis Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka atau menulis Surat Pengisytiharan Hibah ataupun menulis Surat Pengisytiharan Harta Sepencarian ataupun menulis apa-apa surat pengisytiharan sebagai bukti hitam putih, untuk kebaikan kita dan waris.
Sebagai contoh, Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka bukanlah sekadar untuk diperkatakan atau dikempen-kempenkan. Bahkan yang lebih utama ialah kita mesti melaksanakan tuntutannya.

Membuat Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka adalah suatu keperluan masa kini. Kenapa dan bagaimana menulisnya? InsyaAllah blog ini akan menerangkan apakah definisi surat wasiat, kenapa mesti membuat surat wasiat dan bagaimana membuat surat wasiat.

Semoga dengan membaca dan ilmu dari blog ini, kita dapat menyelamatkan waris-waris dan juga harta-harta yang bakal kita tinggalkan.

Kita masih hidup, justeru peluang bagi kita yang masih hidup ialah dapat mengurus serta merancang pusaka. bagi yang telah meninggal dunia, mereka sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka mungkin menanti doa, pahala amalan dan harapan di barzakh sana. Malanglah andai mereka sedang merana disebabkan harta pusaka yang ditinggalkan tidak diurus dengan sebaiknya.

Menyesal di dunia tidak mengapa. Kita masih boleh mengurus serta merancang pusaka. Tetapi, jangan sampai kita menyesal di barzakh sana. Renungi firman Allah SWT:

  "Lalu mereka tidak boleh membuat suatu wasiat pun dan tidak pula dapat kembali kepada keluarganya". (Surah Yasin; 50)

Ayat diatas menggambarkan penyesalan  orang yang telah mati. Salah satu puncanya ialah kerana mati tanpa meninggalkan sebarang wasiat atau sebarang bukti hitam atau putih atau lebih khusus lagi ialah Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka. Akhirnya harta pusaka yang ditinggalkan telah dimanipulasikan atau digunakan dan diuruskan sewenang-wenangnya oleh ahli waris yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Lebih buruk lagi apabila harta pusakanya itu langsung tidak diuruskan oleh warisnya sedang dalam masa sama, tuan harta sedang merana di alam barakh.

Semoga blog ini dapat menjadi pencetus inspirasi kita untuk mengurus dan merancang pusaka. Semoga usaha kecil ini juga dapat membantu untuk memadamkan maraan api gelojak fitnah pusaka yang sedang berlaku dalam masyarakat kita yang mana akibat serta bahananya dapat kita rasai bersama.

                                              Al-Fatihah dan Selamat Membaca

Dari Petikan Penulis: Ustaz Ghazali Ibrahim & Rashid Abdul (blogger)